SIRI SYARAHAN PERDANA | SENSOR KIMIA OPTIK

Sensor Kimia Optik: Pendekatan Praktikal dalam Analisis Kimia 20 Langkah pertama dalam pembangunan sensor optik adalah pemilihan reagen bersifat kromofor yang sesuai dan mempunyai keselektifan tinggi terhadap substratnya. Beberapa contoh reagen kromofor adalah galosianin bagi pengesanan Pb 2+ (Yusof & Musa 2002), krom azurol S bagi pengesanan Al 3+ (Musa & Narayanaswamy 1995) dan fenolftalein bagi perubahan pH (Liu et al. 2004). Perkembangan kaedah pemegunan juga memberikan peluang yang cerah dalam memajukan penyelidikan sensor optik. Teknik pemegunan dengan menggunakan teknologi nano yang giat diselidiki kini memberi kesan besar terhadap perkembangan sensor optik kerana dapat memberikan prestasi sensor yang baik dari segi had pengesanan yang rendah, masa rangsangan yang cepat dan stabil (Shi et al. 2004). KELEBIHAN DAN KETERBATASAN Sensor kimia optik ini mempunyai beberapa kelebihan seperti menjimatkan kos kaedah analisis, bersaiz kecil, memudahkan prosedur analisis, lengai terhadap elektrik, ringan, mesra pengguna, tidak memerlukan instrumen yang mahal bagi penentuan sesuatu analit dan analisis penentuan boleh dilakukan secara in-situ serta penentuan analit dapat dilakukan di lapangan (Mohamad et al. 2002; Narayanaswamy 1991; Saari 1987). Aplikasi sensor kimia optik dalam penentuan ion NH 4 + adalah meluas. Sensor kimia optik adalah berdasarkan perubahan warna yang berlaku hasil daripada tindak balas kimia. Kaedah ini didapati sesuai dalam penentuan jumlah kepekatan NH 4 + (Trinkel et al. 1996). Beberapa penyelidik terdahulu telah banyak melaporkan kelebihan dan kekurangan sensor kimia optik (Mehrvar et al. 2000). Antara kelebihan sensor kimia optik berbanding dengan sensor kimia lain seperti sensor berasaskan kaedah elektrokimia ialah: a. Tiada gangguan elektrik. b. Tidak memerlukan elektrod rujukan. c. Reagen pegun tidak perlu dilekatkan pada sumber cahaya atau gentian optik dan mudah untuk diganti dengan yang baru. d. Saiz sensor kimia optik boleh dikecilkan dan digunakan untuk pemantauan secara in vivo . e. Ia boleh memberi rangsangan secara serentak pada pelbagai analit dengan menggunakan multi-reagen pegun.

RkJQdWJsaXNoZXIy NzMyMDE=