SIRI SYARAHAN PERDANA | SENSOR KIMIA OPTIK
Sensor Kimia Optik: Pendekatan Praktikal dalam Analisis Kimia 70 Kaedah Instrumentasi untuk Analisis Glutamat Kaedah HPLC adalah kaedah piawai yang digunakan untuk menentukan kandungan glutamat di dalam makanan. Dalam kaedah ini, glutamat harus diterbitkan terlebih dahulu menjadikan bahan yang berpendafluor menggunakan reagen o-ftaldialdehid (OPA) sebelum analisis dilakukan (Bartolomero & Maisano 2006; Beljaars et al. 1996; Gatti et al. 2004). Ini menjadikan kaedah ini agak rumit dan kaedah pemisahan menggunakan HPLC memerlukan masa yang panjang. Instrumen seperti HPLC juga melibatkan kos yang tinggi, menggunakan ruang makmal yang besar kerana saiznya yang besar dan memerlukan pengoperasi yang mahir. Oleh itu, penyelidikan ini ditumpukan kepada pembangunan kaedah sensor kimia optik yang ringkas, cepat dan boleh untuk menentukan kandungan glutamat bebas di dalam makanan. Sensor kimia optik yang dibangunkan dalam kajian ini adalah dalam bentuk pelet. Kaedah ini, dijangka berupaya menentukan kandungan glutamat dengan cepat hanya dengan melihat kepada perubahan warna yang berlaku pada pelet. Pembangunan Sensor Kimia Optik Pantulan untuk Glutamat Menggunakan Cu(II) Prinsip sensor kimia yang dibangunkan adalah berdasarkan penghasilan kompleks Cu(II)-glutamat yang terhasil daripada tindak balas antara Cu(II) yang dipegunkan ke dalam sol-gel silikat dengan glutamat. Penghasilan kompleks Cu(II)-glutamat adalah melibatkan ikatan kelat yang kuat antara karbosilat dan kumpulan amina kepada Cu(II) seperti yang dilaporkan oleh Stone et al. (2004). Sebatian kompleks Cu(II)- glutamat ditunjukkan dalam Rajah 4.28. Rajah 4.29 menunjukkan spektrum pantulan bagi kuprum yang dipegunkan di dalam sol-gel silikat sebelum dan selepas tindak balas dengan larutan glutamat 1 M. Penghasilan kompleks Cu(II)-glutamat menyebabkan penurunan keamatan pantulan bagi reagen kuprum yang berwarna biru muda kepada biru tua. Perbezaan maksimum di antara keamatan pantulan Cu(II) terpegun sebelum dan selepas tindak balas dengan glutamat adalah pada panjang gelombang 691 nm.
Made with FlippingBook
RkJQdWJsaXNoZXIy NzMyMDE=