SIRI SYARAHAN PERDANA | SENSOR KIMIA OPTIK
79 Prototaip Sensor Kimia Optik yang Telah Dibangunkan SENSORAN OPTIK UNTUK ION AI(III) Ion Al (III) dan Keberadaan di Persekitaran Al(III) adalah unsur ketiga yang paling banyak ditemui di bumi (8 %), namun kandungan Al(III) terlarut dalam sumber air semula jadi adalah sangat rendah (< 10 µg L -1 ) (Constantini & Giordanao 1991). Kandungan Al(III) terlarut dalam sumber air semula jadi boleh berubah kepada tahap yang lebih tinggi kesan daripada pengasidan oleh hujan asid (Harris et al. 1996) atau proses rawatannya menggunakan aluminium sulfat bagi menghasilkan air terawat yang seterusnya digunakan sebagai air minuman (Wauer et al. 2004). Al(III) mula digunakan oleh bangsa Rom sebagai krim penahan dan penyembuh luka dan dikenali sebagai “alum”. Kandungan Al(III) di dalam air minuman pula adalah berbeza mengikut punca sumber air dan sama ada agen penggumpalan digunakan atau tidak semasa proses rawatan air (Namiesnik & Rabajczyk 2010). Tetapi secara amnya Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah menggariskan kandungan maksimum Al(III) di dalam air minuman adalah tidak melebihi 200 µg L -1 (WHO 1997). Walaupun sebelum ini Al(III) telah dikategorikan sebagai logam yang tidak toksik kepada kesihatan manusia, namun beberapa kajian yang dijalankan sejak dekad 1970-an telah mendedahkan bahawa Al(III) berpotensi meningkatkan risiko penyakit kepada manusia. Pencemaran Al(III) dalam sumber air semula jadi dan air minuman telah mendapat perhatian daripada banyak pihak kerana kesan toksik dan biologinya bukan sahaja kepada manusia, malah juga kepada haiwan, tumbuhan dan alam sekitar. Kebanyakan jenis makanan yang mengandungi kuantiti Al(III) adalah berpunca daripada tanah iaitu sumber makanan itu ditanam. Menurut Matsumoto (2000), apabila nilai pH tanah kurang daripada 4.5 – 5.0, Al(III) akan terlarut di dalam tanah dengan lebih cepat dan ia akan diserap oleh akar tumbuhan dengan mudah. Al(III) yang biasa hadir dalam diet manusia kebanyakannya berpunca daripada produk tenusu, bijirin dan sayur-sayuran (Greger et al. 1988). Secara purata, jumlah pengambilan Al(III) dalam diet harian manusia adalah 10.0 mg dan 7.0 mg sehari, masing-masing bagi lelaki dan wanita (Flarend 2001).
Made with FlippingBook
RkJQdWJsaXNoZXIy NzMyMDE=