Azman Ab. Rahman ialah seorang penulis di Penerbit USIM yang berpengalaman dalam bidang penulisan buku selama tujuh tahun sejak 2010. Beliau ialah seorang pensyarah yang bergelar Profesor Madya dalam bidang Fiqh & Usul Fiqh dari Universiti Sains Islam Malaysia. Kesuluruhan pendidikannya memang dikhususkan dalam bidang Fiqh & Usul Fiqh sejak 2000 dengan mendapat kelulusan ijazah sarjana muda dari Universiti Al-Bayt Jordan. Kemudian, beliau melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah sarjana di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia pada 2003 dan ijazah kedoktoran dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia pada 2010 dalam  Ilmu Wahyu dan Warisan. Pada 2005, beliau memiliki Diploma Penterjemahan Profesional dari Dewan Bahasa dan Pustaka serta Persatuan Penterjemahan Malaysia.

Beliau sangat aktif menulis jurnal, prosiding, artikel dan buku khususnya dalam bidang zakat dan fiqh kontemporari selain penglibatan dalam pembentangan kertas kerja di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Beliau juga berkemahiran lebih daripada satu bahasa selain daripada bahasa Melayu iaitu bahasa Inggeris dan bahasa Arab. Hal ini terbukti apabila beliau juga mampu menulis buku bukan sahaja dalam bahasa Melayu malahan dalam bahasa Arab.

Antara tajuk buku terkini hasil karya beliau yang diterbitkan oleh Penerbit USIM ialah Pembinaan Rumah Kediaman Menurut Perspektif Islam dan Fiqh Muamalat Orang Kurang Upaya (OKU), seterusnya banyak lagi buku yang pernah dihasilkan (rujuk lampiran). Di samping itu, beliau pernah berpengalaman menulis buku bersama penerbit luar negara dari Jakarta, Indonesia iaitu Penerbit Dar’ami Publishing bertajuk Konsep Istitabah Murtad di Malaysia. Malahan, beliau juga pernah bekerjasama dengan penerbit luar yang terkenal di Malaysia antaranya Oxford Fajar, Usuli Faqih Research Center dan Open University Malaysia (OUM). Selain itu, penulisan beliau pernah diterbitkan oleh Utusan Karya pada tahun 2011 iaitu artikel yang bertajuk Hadiah dan Rasuah Semuanya Bermula Dari Hati dalam Majalah Al-Islam. Beliau juga aktif terlibat dalam bidang penyelidikan, antaranya seperti Fekah Penyiaran Dalam Operasi TV Islami, Pembinaan Konsep Metodologi Fatwa Berinovatif Yang Seragam dan Punca-Punca Murtad Kajian di Malaysia.

Penulis sangat aktif dan prolifik dalam penerbitan buku sehingga dianugerahkan Anugerah Penulis Aktif sempena Majlis Kalam Bitara 2015 oleh Penerbit USIM. Dalam majlis tersebut, beliau juga merupakan antara penerima royalti tertinggi bagi buku terbitan Penerbit USIM iaitu Modul Pengurusan Amil Zakat Malaysia, Ahkam Al-Musobaqat Al-Muasarah Fil Al-Fiqh Al I’lami dan Fiqh Jenayah Orang Kurang Upaya (OKU).

Beliau mempunyai kepakaran dalam bidang fiqh & usul fiqh, sehinggakan beliau telah diberi kepercayaan menjadi Panel Penasihat Akademik di Jabatan Pengajian Politeknik oleh Kementerian Pelajaran Malaysia. Di samping itu, beliau dilantik menjadi pemeriksa bagi tesis kajian pelajar PhD, penilai artikel jurnal, speaker jemputan bagi seminar dan panel editorial kebangsaan bagi e-Jurnal Penyelidikan dan Inovasi (e-JPI). Malahan, beliau pernah dijemput menjadi tetamu radio IKIM bagi slot promosi buku Fiqh Munakahat Orang Kurang Upaya (OKU) sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2016 (PBAKL’16).

Kini, beliau juga dilantik menjadi Panel Syariah di USIM bagi Tujuan Pensijilan SIRIM – Keperluan Dari Perspektif Islam, Associate Editor, Usuli Faqih Research Centre (UFRC) Al-Qanatir: International Journal of Islamic Studies, Penyelaras Bahagian Komunikasi dan Penajaan, Solar Decathlon Middle East (SDME) 2018, Jawatankuasa Tetap Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) sesi 2015-2017 dan Ketua Penyelidik Inovasi Global Zakat Game. Seterusnya, beliau dilantik menjadi Ketua Penyelidik Inovasi Model Penganjuran Pertandingan Sukan dan Peraduan Patuh Syariah dan beliau berjaya memenangi pingat perak bagi model sukan patuh syariah e-pembelajaran peringkat kebangsaan pada tahun ini.

Penulis yang sangat berbakat ini kini berusia 40 tahun, beliau merupakan anak kelahiran negeri Kelantan yang dilahirkan pada 21 April 1977. Hasil perkongsian hidup bersama Puan Amalina binti A. Rahim, mereka dikurniakan sepasang cahaya mata bernama Amirul Rasyaad dan Amiratul Eimany.

TAHUN

JUDUL BUKU

2017
  • Pembinaan Rumah Kediaman Menurut Perspektif Islam
  • Fiqh Muamalat Orang Kelainan Upaya (OKU)
2016
  • Kedudukan Asnaf ar-Riqab Sebagai Penerima Zakat di Malaysia
  • Pembasmian Kemiskinan Berdasarkan Maqasid Syariah
  • Masjid dan Pembangunan Komuniti Bandar dan Luar Bandar
  • Modul Pertandingan Sukan dan Peraduan Patuh Syariah
  • Kefahaman Masyarakat Negeri Sembilan Terhadap Tanah Adat
  • Fiqh Munakahat Orang Kelainan Upaya (OKU)
2015
  • Model Pengurusan Dana dan Sumbangan Bencana BanjirBerasaskan Indeks Syariah Malaysia
  • Model Indeks Penentuan Had Tempoh Mualaf
  • Model Institusi Pendidikan Melalui Pembiayaan Dana Zakat
  • Fiqh Ibadat Orang Kelainan Upaya (OKU)
  • Ensiklopedia Asnaf dan Skim Agihan Zakat Di Malaysia
  • Sains Teknologi dan Kejuruteraan Dalam Islam
2014
  • Fiqh Jenayah Orang Kelainan Upaya (OKU)
  • Modul Pengurusan Amil Zakat Malaysia
  • Dalil Al Kitabah Al Akademiah
2012
  • Keengganan Membayar Zakat Menurut Perspektif Syarak dan Perundangan Islam di Malaysia
  • Fiqh Al-Jinayat
  • Kursus Fiqh Islami II
  • Pengenalan Usul Fiqh
  • Al-Wajiz Fi Fiqh Al-Ibadat Wa Al-Munakahat