Peradaban Islam di Asia Isu Sejarah, Pendidikan dan Sains Sosial

PERADABAN ISLAM DI ASIA ISU SEJARAH, PENDIDIKAN DAN SAINS SOSIAL

Buku: Peradaban Islam di Asia Isu Sejarah, Pendidikan dan Sains Sosial

Editor: Nurul Wahidah Fauzi & Wan Nur Amirah

Penerbit USIM

ISBN: 978-967-440-337-9

Buku kompilasi yang bertajuk “Peradaban Islam di Asia: Isu Sejarah, Pendidikan dan Sains Sosial” ini disusun oleh Dr Nurul Wahidah Fauzi dan Dr Wan Nur Amirah Wan. Mohd. Sabri  dan mengandungi 14 artikel yang disumbangkan oleh 28 penulis.

Buku ini merupakan kumpulan makalah dalam bidang sejarah dan tamadun Islam merangkumi pelbagai disiplin yang dikelompokkan kepada beberapa tema utama iaitu konsep tamadun menurut pandangan ahli sejarawan dan cendekiawan, kegemilangan dan warisan peradaban Islam, berserta perbahasan mengenai isu-isu semasa Tamadun Islam dalam peradaban dunia. Buku ini membahaskan ilmu historiografi Islam dan konsep sejarah, disiplin dalam penulisan sejarah Islam dengan rentetan peristiwa sejarah yang membabitkan ilmuwan dalam bidang sosial, matematik dan sains secara kolektif di peringkat antarabangsa dan lokal.

Buku ini menelaah perihal ilmu peradaban Islam di Asia dengan perbahasan meliputi aspek sejarah, pendidikan dan sains sosial. Umumnya buku ini dibahagikan kepada beberapa tema utama iaitu konsep tamadun, kegemilangan dan warisan tamadun Islam dan budaya dan warisan peradaban silam dalam Tamadun Melayu dan Tamadun Islam secara umumnya. Isi kandungan setiap bahagian telah memperlihatkan dengan lebih konkrit akan perbahasan sekitar peradaban Islam yang bukan sahaja memperlihatkan keindahan Islam, kebijaksanaan tokoh-tokoh Islam dan tokoh di Tanah Melayu dalam memartabatkan sistem pendidikan Islam di Negara ini dan memahami moderniti dalam perkembangan dalam kelangsungan tamadun kontemporari.

Bab terawal adalah berjudul “Peradaban Islam di Asia: Martabat Wanita Dalam Bidang Sains dan Pendidikan” oleh Nurulwahidah Fauzi dan Siti Norbaya Mat Yacob membahaskan keterkaitan di antara Islam, peradaban serta sumbangan wanita terhadap sejarah pembangunan sains dan pendidikan dalam dunia Islam sejak kurun ke-14 yang lalu. Kupasan lanjut mengenai sejarah wanita dalam kelompok bangsa yang berbeza-beza dan juga mengenai sumbangan wanita dalam membina peradaban Islam, sekali gus mengangkat martabat dan kualiti hidup mereka dalam sistem Islam yang tertib dan teratur.

 “Kedatangan Islam ke Alam Melayu: Kesan dan Perubahan” yang ditulis oleh Ahmad Nasir Mohd Yusoff membicarakan mengenai teori kedatangan Islam di Alam Melayu yang menyentuh secara langsung masa dan cara kedatangan Islam sampai ke Alam Melayu melalui negara-negara tertentu. Selain itu, teori penyebaran Islam di Alam Melayu pula menyentuh tentang faktor yang mempercepatkan penyebaran Islam di Alam Melayu dan golongan yang memberikan sumbangan dalam proses pengislaman masyarakat di Alam Melayu. Penulis ini mengakhiri perbincangan dengan menyatakan tidak mustahil bahawa Alam Melayu akan maju kehadapan sebagai sebuah kuasa yang boleh dibanggakan di alaf baharu. Ia juga tentunya mampu bersaing dengan tamadun-tamadun lain, khususnya yang sedia ada iaitu tamadun Eropah Barat.

Selain itu, ulasan mengenai kaedah penulisan sejarah menurut Islam juga telah dihuraikan oleh Ahmad Faathin, Azmul Fahimi Kamaruzaman dan Ezad  Azraai Jamsari dalam artikel mereka “Konsep Historiografi Islam”. Artikel ini membahaskan mengenai disiplin dalam penulisan sejarah Islam dengan rentetan peristiwa sejarah terhadap segala peristiwa silam mahupun sezaman. Skop dalam ilmu sejarah dan historiografi itu amat luas seluas kehidupan manusia itu sendiri, kerana subjek utama kepada kajian sejarah adalah kajian terhadap perbuatan dan tingkah laku manusia. Ia tidak terbatas kepada perbahasan mengenai sesuatu bangsa atau generasi dalam sesuatu zaman tertentu, bahkan merangkumi semua perkara yang berlaku dalam kehidupan manusia tanpa dilingkungi zaman. Skop ilmu sejarah dan historiografi adalah bermula sejak penciptaan nabi Adam a.s bahkan sehingga awal penciptaan makhluk lagi.

Perbincangan konsep al-'Umran telah dijalankan oleh beberapa penulis dan ulama, menangani dari perspektif yang berbeza seperti sosial sains, politik, ekonomi, sejarah, falsafah dan sosiologi telah diulas oleh Asyiqin Ab Halim dalam artikel beliau bertajuk “The Construction of the Concept of Al-‘Umran by Ibn Khaldūn: A Historical Discourse Analysis”. Objektif kajian ini, antara lain termasuklah bagi mengembangkan dan memperluaskan lagi minda masyarakat Islam di rantau ini, khususnya dalam bidang sains sosial Islam, di samping mendedahkan kepentingan `umran dalam bidang kehidupan sebagai salah satu sumber ilmu agama dan budaya masyarakat Islam. Tujuan lain adalah untuk memperlihatkan sumbangan Ibn Khaldun dalam bidang agama, sains sosial dan kemanusiaan, serta menyuntik nilai budaya murni `umran dalam bidang akademik dan pendidikan di dunia Islam.

Sumbangan sarjana Islam pula telah dikupas dengan lebih mendalam dalam artikel “The Position of Algebra in Science of Faraid: The Role of Al-Khwarizmi in his book ‘Al-Jabr wa al-Muqabalah’” oleh Madiha Baharuddin. Al-Khawarizmi ialah seorang tokoh yang pertama kali memperkenalkan aljabar dan hisab. Banyak lagi ilmu pengetahuan yang beliau pelajari dalam bidang matematika dan menghasilkan konsep-konsep matematika yang begitu popular yang masih digunakan sehingga sekarang dalam kitab beliau. Kajian ini mampu mengukuhkan kefahaman pembaca tentang sumbangan Al-Khawarizmi dalam ilmu faraid dengan pengiraannya berdasarkan ilmu matematik, prinsip-prinsip ilmu faraid, dan bagaimana formula matematik beliau mampu menyelesaikan isu-isu yang berkaitan dengan waris dan harta pusaka.

Kupasan lanjut mengenai sumbangan al-Khawarizmi dalam dunia Islam telah diambil tanggunjawab oleh penulisan Salmah Omar dengan tajuknya “Sumbangan Sarjana Islam dalam Bidang Matematik”. Artikel ini, selain mengupas mengenai latar belakang al-Khawarizmi dan kerjaya semasa beliau bekerja di bawah pemerintahan Khalifah al-Ma’mun, dan di Bayt al-Hikmah di Baghdad, turut mengupas mengenai sumbangan Khawarizmi dalam ilmu geografi. Beliau tidak hanya menyemak pandangan Patolemy mengenai geografi tetapi juga membetulkannya termasuk dalam melakar peta dunia. Al-Khawarizmi ialah saintis pertama yang melakar peta dunia pada tahun 830M iaitu 10 tahun sebelum beliau meninggal dunia. Hasil kerjanya yang lain turut meliputi kerja-kerja asal berkaitan dengan jam, alat yang menunjukkan waktu dengan bayangan matahari serta kaji bintang. Hasil penemuannya dibukukan dan beberapa bukunya telah diterjemahkan ke dalam bahasa Latin pada awal kurun ke-12. Buku Al-Khawarizmi mengenai kira-kira, “Kitab al-Jam'a wal-Tafreeq bil Hisab al-Hindi” telah hilang di benua Arab tetapi masih boleh diperoleh dalam buku yang diterjemahkan ke dalam bahasa Latin. Buku geografinya, “Kitab Surat-al-Ard” bersama-sama peta lakarannya juga telah diterjemahkan. Selain itu, beliau turut menulis kalendar Yahudi, “Istikhraj Tarikh al-Yahud”. Beliau juga menulis “Kitab al-Tarikh” dan buku mengenai alat yang menunjukkan waktu dengan bayangan matahari dikenali “Kitab al-Rukhmat”.

Sumbangan tokoh ilmuwan Islam di Tanah Melayu pula dapat dilihat melalui pemikiran Tun Dr. Mahathir Mohamad melalui artikel “Pendidikan Era Globalisasi Menurut Pandangan Tun Dr. Mahathir Mohamad” oleh Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri dan Muniroh Abdul Rohman. Isu pendidikan melalui program “Perdana Discourse Series” dibahaskan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad telah mengambil kira beberapa keperluan utama iaitu belajar melalui sejarah lalu, sistem pendidikan agama di Malaysia, penyerapan ilmu pengetahuan dalam kalangan masyarakat, kemahiran yang perlu dikuasai, semangat kesedaran, slogan “Malaysia Boleh”, nilai-nilai murni dalam pendidikan, penyalahgunaan ilmu pengetahuan, penyampaian nilai-nilai murni dan peranan guru agama.

Tokoh ulama di Alam Melayu yang turut dibincangkan adalah bertajuk “Peranan dan Sumbangan Haji Ismail dalam Memperkukuhkan Pendidikan Agama di Negeri Johor Darul Ta’zim” oleh Abdul Kadir Mohamad dan Kamaruzaman Yusoff. Haji Ismail ialah seorang tokoh yang tersohor di dunia Melayu pada abad ke-20M dalam bidang pendidikan dengan memperlihatkan pelbagai usaha dan pembaharuan yang dilakukan bagi mengukuhkan dan memajukan pendidikan Islam di Johor Darul Ta’zim khususnya pendidikan aliran Arab. Antaranya dengan menerapkan pelbagai kaedah pengajaran dan pembelajaran ketika menjadi guru di Madrasah dan Kuliah Al-Attas. Di samping itu, beliau telah meningkatkan mutu pendidikan agama aliran Arab dengan memperkenalkan sukatan pelajaran yang holistik yang menggabungkan pelajaran agama, Arab dan akademik di SAR, Kolej Islam Malaya dan Maahad Johor. Dari segi kemajuan fizikal pendidikan Islam pula, Haji Ismail bersama-sama ulama lepasan Timur Tengah yang lain telah menjadi perintis kepada kemajuan pendidikan agama dan Arab di peringkat pengajian tinggi. Ini dilihat menerusi gagasan idea dan usaha mereka yang membawa kepada penubuhan Kolej Islam Malaya dan Maahad Johor. Selain itu, beliau juga menggunakan medium penulisan bagi memupuk kesedaran masyarakat tentang kepentingan pendidikan serta turut menyumbang idea bagi meningkatkan mutu pendidikan Islam di negara ini.

Tokoh seterusnya dengan usaha menyebarluaskan ajaran agama Islam di Sabah diulas dalam artikel bertajuk “Tun Datu Mustapha Datu Harun dan Sumbangannya dalam Perkembangan Islam di Sabah” karya Abd Hakim Mohad dan Ros Aiza Mohd Mokhtar. Tokoh ini ialah seorang pemimpin yang mempunyai semangat juang yang tinggi dalam mengangkat martabat agama Islam dengan berusaha menubuhkan dua organisasi Islam yang dapat menjaga kebajikan umat Islam di Sabah. Tun juga terlibat secara langsung dalam menjalankan dakwah Islam hingga ke pedalaman. Beliau secara peribadi telah turun padang membantu para mubaligh menarik masyarakat peribumi di Sabah untuk menerima Islam sebagai agama anutan mereka. Sehingga hari ini, nama Tun amat sinonim dengan program pengislaman beramai-ramai.

Perbahasan mengenai “Konsep Seni Dalam Islam” oleh Nor Adina Abd Kadir dan Nang Naemah Nik Dahlan yang memberi pengetahuan bahawa Islam telah dihidupkan dengan pelbagai bentuk seni yang sesuai dengan kemajuan ilmu pengetahuannya antaranya ialah seni khat, seni bina, seni suara, lagu dan irama, seni sastera, seni pembuatan dan sebagainya. Artikel ini secara tuntasnya mengupas lanjut mengenai konsep seni dalam Islam, manfaat dan keindahan seni dalam al-Quran, peranan dan prinsip seni, sekali gus mampu memberi tambahan idea kepada para pembaca akan kepentingan seni sebagai salah satu elemen utama dalam pembentukan sesebuah tamadun itu sendiri.

Wacana “Revisiting The Islamic Heritage of Environmental Wisdom: Vital Aspects on Harmony of Man With Nature” oleh Asmawati Muhamad dan Abdul Halim Syihabini membincangkan dengan tuntas karya tafsir klasik dan kontemporari yang merumuskan bahawa al-Quran menggesa manusia untuk memikirkan dunia semula jadi dan komponennya kerana mereka adalah ayat (tanda-tanda) bagi manusia untuk mengetahui Pencipta alam semesta ini. Selain itu, ia memberikan kritikan kepada orang-orang yang beriman kepada konsep politeisme, karut dan tidak percaya kepada Tuhan alam. Asas ajaran al-Quran pada alam semula jadi berakar umbi daripada kepercayaan tauhid yang merangkumi pandangan dunia yang holistik mengenai komponen alam sekitar dan alam semesta ciptaan Allah SWT, kembali kepada-Nya, dan berpusat kepada-Nya.

Artikel Wan Roslina Wan Ismail bertajuk “Adat-Istiadat dan Pantang Larang Budaya Bukan Material Yang Terpancar dalam Karya Melayu Silam: Satu Tinjauan” membicarakan adat istiadat dan pantang larang dalam kalangan masyarakat Melayu yang merupakan suatu budaya bukan material yang menjadi pegangan orang-orang Melayu sejak zaman berzaman. Beberapa adat isitadat dan pantang larang masih lagi menjadi amalan masyarakat Melayu sehingga ke hari ini iaitu seperti tunduk hormat dan tidak melintas di hadapan sultan dan pembesar-pembesar, serta tidak memakai pakaian berwarna kuning kerana raja dianggap mulia dan wajar disembah malah dihormati. Namun begitu, ada juga adat istiadat dan pantang larang itu telah termansuh akibat peredaran zaman, masa dan perubahan sistem hidup masyarakat Melayu. Walaubagaimanapun, adat istiadat dan pantang larang masyarakat Melayu Melaka masih tetap menjadi warisan budaya Melayu.

Perbincangan mengenai isu-isu semasa peradaban diulas dengan mendalam dalam artikel ”Peradaban Melalui Pembangunan Kelestarian Insan Berterusan (PKIB): Analisis Konsep Wasatiyyah Menurut Pandangan Tokoh Sarjana Islam” oleh Sharifah Hayaati Syed Ismail al-Qudsy, Siti Arni Basir, Ilhaamie Abd.Ghani Azmi, Sharifah Latifah al-Haddad, Syarifah Norulazan Syeikh Ahmad, Idris b. Nayan. Artikel ini secara tuntasnya mengupas akan keutamaan peradaban sebagai suatu istilah dan elemen yang tinggi dalam menunjukkan kepada suatu tahap pencapaian yang tinggi dalam sejarah pembangunan sahsiah manusia. Artikel ini menyimpulkan bahawa keunggulan peradaban insan bergantung kepada keunggulan nilai Islam yang diamalkan. Nilai wasatiyyah merupakan gambaran keunggulan nilai Islam yang telah diterima secara sepakat oleh para tokoh sarjana Islam yang muktabar. Justeru, ciri-ciri yang telah digariskan sebagai memenuhi maksud wasatiyyah amat wajar dan perlu dijadikan prinsip nilai dan panduan dalam membina kelestarian insan. Manakala usaha pembangunan kelestarian insan pula perlulah bersifat berterusan demi menghasilkan peradaban tinggi yang mampu mengembalikan kegemilangan tamadun Islam.

Akhir sekali, penutup perbahasan buku ini dibicarakan oleh Siti Nor Baya Mat Yacob, Nasruddin Yunos, Anita Ismail dan Latifah Abdul Latiff di dalam artikel mengenai “Memahami Modeniti dalam Kelangsungan Tamadun Kontemporari” yang memperbahaskan akan susur galur sejarah idea modeniti yang sangat berkait rapat dengan pemikiran falsafah Barat bermula pada abad ke-15M yang seterusnya menentukan pandangan terhadap agama dan kehidupan, tentang alam semesta dan manusia, ilmu pengetahuan dan nilai. Asasnya dikatakan bermula seawal zaman kebangkitan atau dikenali juga sebagai zaman Renaissans lagi, tetapi idea tentang moden atau modeniti ini hanya benar-benar berkembang sejajar dengan perkembangan ilmu pada abad ke-18M. Artikel ini membicarakan konsep modeniti dari aspek sejarah, ciri-ciri modeniti, serta modeniti dan hubungannya dengan falsafah pemikiran moden dan idea kemajuan dengan kesimpulan yang dibawa ialah cabaran yang lahir dalam perkembangan tamadun kontemporari sekiranya tidak ditangani dengan baik tentu sekali akan mengugat penerusan tamadun pada masa hadapan. Integrasi ilmu aqli dan naqli merupakan salah satu kekuatan sekiranya tamadun Islam ingin kembali mendominasi pandangan dunia tentang kehidupan bertamadun secara menyeluruh.

Secara kesimpulannya, buku ini amatlah bernilai kerana peradaban Islam merupakan suatu tunggak dan elemen utama dalam pembentukan umat yang cemerlang untuk memacu keseimbangan hidup manusia dalam kehidupan dunia dan akhirat. Perbicaraan juga merangkumi konteks sejarah, pendidikan Islam dan sains sosial dalam sentuhan mengenai warisan dan kebudayaan Islam di sekitar Asia.

PENERBIT USIM, Universiti Sains Islam Malaysia,71800 Bandar Baru Nilai, Negeri Sembilan, Malaysia. Tel: 06-798 8226/ 6081 | Fax: 06-798 6083
Email: Alamat e-mel ini dilindungi daripada spambots. Anda perlukan JavaScript diaktifkan untuk memaparkannya.
Waktu Operasi Pejabat: Isnin - Jumaat : 8.00 pg - 5.00 ptg Waktu Rehat: Isnin - Khamis : 1.00 ptg - 2.00 ptg, Jumaat : 12.15 tgh - 2.45 ptg. SABTU, AHAD & CUTI UMUM - TUTUP