Kemunculan 2019 menandakan usia Penerbit USIM atau USIM PRESS sudah berada dalam usia yang agak matang; 16 tahun bergelumang sebagai penerbit universiti. Dengan pelbagai rujukan yang diberikan kepada masyarakat dan ummah, Penerbit USIM berbesar hati dapat menjadi salah satu penyumbang gedung-gedung ilmu. Di USIM, penerbitan merupakan salah satu bidang yang menjadi tumpuan tujahan utama.  Setiap bidang penerbitan membawa nama dan imej USIM dalam bidang keilmiahan yang tidak pernah berhenti. Dengan harapan misi dan visi untuk menobatkan cendekiawan Islam, ia terus diberikan perhatian untuk mengembalikan tujahan bidang penerbitan ilmu Islam, sains dan teknologi malah melalui integrasi kedua-duanya. Niche dan tujahan tersebut cuba diaplikasikan melalui beberapa penerbitan di USIM. Apabila lahirnya beberapa penerbitan, ia membuktikan bagaimana USIM berusaha untuk menerbitkan bahan-bahan yang mempunyai integrasi Naqli dan Aqli.

Dengan mendapat sokongan yang tidak pernah berbelah bahagi daripada pengurusan universiti, dengan jumlah penerbitan yang makin meningkat sehingga 650 tajuk dalam pelbagai genre, juga menjadi rakan kolaborasi dengan pelbagai negara seperti Indonesia, Jordan, Jerman, Jepun dan sebagainya menjadikan Penerbit USIM semakin matang dalam kancah industri buku.

Kami mengharapkan sokongan para penulis tidak kira di mana sahaja berada sama ada di luar USIM atau kalangan staf USIM sendiri, agar kami mampu terus berdiri untuk menerbitkan buku-buku yang menepati keperluan ummah pada era kini. Pelbagai genre penerbitan sudah ada dalam radar kami termasuk fokus utama penerbitan ilmiah sebaga korpus ilmu, tidak dikesampingkan juga penerbitan-penerbitan genre lain seperti penerbitan buku umum, buku teks/modul, fiksyen dan juga puisi.  Ragam penerbitan yang pelbagai ini merupakan modus operandi bagi memenuhi permintaan masyarakat dan sebagai rujukan ummah.

Saya mewakili staf Penerbit USIM berjanji akan sentiasa komited untuk terus bekerjasama dalam menerbitkan buku-buku yang diinginkan. Selamat membaca.

Penerbitan Bermutu, Menjana Wacana Minda.

Sekian, salam penerbitan;

Ketua Penerbit USIM
Hariza Mohd Yusof