Kata Aluan Pengarah

Penjenamaan Penerbit USIM pada tahun 2023 merupakan salah satu usaha universiti untuk memberikan perspektif segar kepada Penerbit USIM.  Bahagian Penerbitan  kini dikenali sebagai Pusat Penerbit USIM. Dua puluh tahun denai Pusat Penerbit merupakan usaha berterusan pasukan yang terdiri daripada pelbagai lapisan staf mengikut fasa untuk terus meningkatkan kualiti dan kuantiti penerbitan buku di USIM dan juga di Malaysia.

Industri penerbitan di Malaysia sendiri berada dalam kelompok unik yang terdiri daripada penulis, penerbit dan juga pengedar. Tidak terkecuali kedai-kedai buku yang menjadi platform untuk terus memartabatkan buku sebagai pembina tamadun bangsa.

Pusat Penerbit USIM memainkan peranan penting untuk sama-sama menyumbang jumlah penerbitan kepada data buku negara. Waima menumpukan kepada penerbitan ilmiah, terdapat juga ruang penerbitan untuk buku-buku lain seperti travelog, buku umum, puisi dan juga bentuk fiksyen yang lain. Kepelbagaian ini memberikan ruang kepada setiap masyarakat untuk memilih buku-buku dalam pelbagai bidang sebagai bahan rujukan. Rujukan inilah yang menjadikan buku sebagai pembina tamadun bangsa.

Dengan usia 20 tahun dalam industri penerbitan; ada jatuh bangun, ada masanya sakit terluka, jerih perih, ada masanya kita ketawa menikmati saat itu secara bersama sebagai satu keluarga. Sekalung penghargaan saya kepada semua pasukan penerbit yang terus bersama saya menerbitkan buku-buku untuk menjadi tatapan kepada warga di peringkat glokal.  Kami akan terus menjadi pendokong kepada usaha para penulis di USIM untuk terus menerbitkan pelbagai bentuk buku untuk dirujuk.

Penerbitan Bermutu, Menjana Wacana Minda.

Sekian, salam penerbitan;

Pengarah Penerbit USIM
Hariza Mohd Yusof