SEMARAK BUDAYA MEMBACA MELALUI SAMBUTAN BUKU SEDUNIA 2015

NILAI, 29 MEI 2015  - Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menyambut sambutan Hari Buku Sedunia 2015 Peringkat USIM bermula 26 hingga 29 Mei 2015 yang diurusetiakan oleh Jabatan Perpustakaan dengan kerjasama Bahagian Penerbitan.  

Menurut Pengarah Program Muhammad Hafizi Ahmad, penganjuran Sambutan Hari Buku Sedunia 2015 ini adalah sebagai mekanisme untuk menyemarakkan budaya membaca dan aplikasinya dalam kehidupan serta memberi kesedaran kewujudan sambutan Hari Buku sedunia bagi memupuk minat membaca  kalangan pelajar, selain memberi peluang kepada warga USIM dan pelajar sekolah untuk menyertai aktiviti-aktiviti pembudayaan ilmu yang dijalankan bagi meningkatkan nilai keintelektualan dikalangan mereka.

“Bersempena dengan 15 tahun penubuhan USIM pada tahun ini, penganjuran Hari Buku Sedunia 2015 dirasakan sangat signifikan dan besar nilainya kepada warga Universiti khususnya dengan menganjurkan program-program yang membudayakan ilmu yang berteraskan  dan bermatlamat  mengintegrasikan ilmu Naqli dan Aqli”, jelas Hafizi.

“Hari Buku Sedunia yang disambut setiap 23 April adalah bersempena mengingati  dua orang penulis tersohor di dunia iaitu William Shakespeare dan Miguel deCervantes. Tercetusnya tarikh 23 April sebagai Hari Buku Sedunia dan juga Hari Hak Cipta Sedunia merupakan rentetan daripada resolusi dalam persidangan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO) di Paris pada 15 November 1995”, tambah beliau lagi.

Pelbagai aktiviti menarik yang diadakan disepanjang empat (4) hari berlangsung antaranya adalah ceramah, aktiviti jualan buku, pameran & kuiz, tayangan perdana dan pelbagai jenis pertandingan seperti Pertandingan ‘Challenge Yourself – Let’s Shelving!’ (Pelajar Pra Siswazah); Pertandingan ‘Test Your IQ and Text Twist’ (Pelajar Pra Siswazah USIM antara Fakulti) dan Pertandingan Kalam Jama’i antara Fakulti USIM (Pelajar Pra Siswazah USIM).  Turut diadakan pelancaran buku ‘Perjalananku Bersama Al Quran’ oleh Dr. Shafie  Md. Amin yang dikendalikan oleh Galeri Ilmu Sdn. Bhd.

Tidak hanya memfokuskan pertandingan yang boleh disertai oleh pelajar USIM, turut diadakan juga beberapa pertandingan khas untuk pelajar sekolah seperti; Pertandingan ‘Spell IT Right’ Kategori Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris – Peringkat Sekolah Rendah; Pertandingan Biar Buku Bicara - Peringkat Sekolah Menengah, Kolej Permata Insan USIM & Pusat Permata Pintar Negara UKM.

Program yang telah diadakan untuk kali ke-5 pada tahun ini sejak penganjurannya yang bermula 2010 telah dirasmikan oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) USIM, Prof. Dato' Dr. Mustafa Mohd Hanefah. Program ini turut disertai oleh agensi luar seperti Arkib Negara Malaysia (ANM) dan pelajar sekolah di sekitar Negeri Sembilan.

Program ini diserikan lagi dengan kehadiran Tuan Haji Addenan Haji Abd Rahman, iaitu mantan Pendaftar USIM yang pertama, yang hadir selaku ahli panel bagi Forum Pengkisahan KUIM/USIM bersama Encik Jasmin Jaimon, Ketua Pustakawan dan Ir. Daim Saian, yang mana mereka adalah antara staf terawal KUIM/USIM . Turut hadir sama ahli pengurusan universiti dan kakitangan USIM.

PUSAT KOMUNIKASI STRATEGIK (STRACOMM)       

PENERBIT USIM, Universiti Sains Islam Malaysia,71800 Bandar Baru Nilai, Negeri Sembilan, Malaysia. Tel: 06-798 8226/ 6081 | Fax: 06-798 6083
Email: Alamat e-mel ini dilindungi daripada spambots. Anda perlukan JavaScript diaktifkan untuk memaparkannya.
Waktu Operasi Pejabat: Isnin - Jumaat : 8.00 pg - 5.00 ptg Waktu Rehat: Isnin - Khamis : 1.00 ptg - 2.00 ptg, Jumaat : 12.15 tgh - 2.45 ptg. SABTU, AHAD & CUTI UMUM - TUTUP