Kata Aluan Ketua Penerbit

Dunia penerbitan di USIM tidak pernah suram dengan pelbagai jenis penerbitan ilmiah. Tidak ketinggalan penerbitan-penerbitan genre lain yang turut mengisi ruang penerbitan industri negara. Walaupun pandemik COVID-19 sudah berada dalam katarsis yang bercampur-baur, industri penerbitan ilmiah di USIM terus menjadi agenda utama penerbitan universiti. Ilmu tidak pernah surut, ilmu tidak pernah mungkar untuk terus menabur bakti kepada mereka yang rela menerimanya. Apatah lagi daripada suar-suar pendeta dan cendekiawan yang ramai di USIM. Taburan dan cedukan ilmu dalam bentuk penerbitan buku tetap berjalan dengan suasana yang berbeza.

Waima banyak kekangan dihadapi untuk meneladani proses ini yang biasanya dihadapi dalam suasana biasa, ia menjadi cabaran untuk disesuaikan dengan cara yang baharu. Jumlah penerbitam di USIM agak membanggakan dengan terus meningkatkan jumlah keseluruhan menghampiri 900 tajuk penerbitan semenjak ia ditubuhkan dengan pelbagai bidang untuk disusuri. Pecambahan idea dalam kalangan ilmuwan terus subur dan kami sebagai penerbit berbangga menjadi platform yang terus bersemangat untuk menyampaikan ilmu kepada glokal. Tinggalkan rangking dan rating seketika, apa yang lebih penting pecambahan ilmu ini dapat dinikmati oleh masyarakat keseluruhannya. Bukankah itu manfaat yang lebih besar ukurannya?

Penerbit USIM mengharapkan terbitan kami menjadi salah satu korpus yang dapat menambahkan nilai-nilai manusiawi dalam pembentukan minda dan jati diri untuk menjadi umat yang terbaik. Ruang dan platform untuk capaian buku-buku Penerbit USIM terus dipertingkatkan agar masyarakat lebih mudah mendapatkan buku-buku untuk dirujuk.

Saya mewakili staf Penerbit USIM berjanji akan sentiasa komited untuk terus bekerjasama dalam menerbitkan buku-buku yang diinginkan. Selamat membaca. Selamat Membaca Buku USIM.

Penerbitan Bermutu, Menjana Wacana Minda.

Sekian, salam penerbitan;

Ketua Penerbit USIM
Hariza Mohd Yusof