Kata Aluan Pengarah

“Penerbit USIM – Memartabatkan penerbitan Islamik, memperluas jaringan global.”
“USIM Press – Elevating Islamic publishing, expanding global reach.”

Sebagai Pengarah Penerbit USIM tahun 2026, saya membawa harapan agar institusi ini terus menjadi peneraju dalam penerbitan akademik berteraskan nilai Islam yang inklusif dan berwibawa. 10 Febuari lalu, kami sudah mencapai umur 23 tahun dan sehingga tempoh ini, Penerbit USIM bukan sekadar sebuah penerbit universiti, tetapi sebuah wadah ilmu yang memartabatkan tradisi keilmuan Islam, yang bukan sahaja memfokuskan kepada penerbitan ilmiah malah turut menerbitkan buku-buku dalam genre lain. Dalam ruang penerbitan ini, kami juga membuka ruang penerbitan dengan masyarakat antarabangsa, kerana kami percaya bahawa penerbitan yang berkualiti mampu menjadi jambatan antara budaya, memperkukuh kefahaman, dan menyumbang kepada pembinaan tamadun yang lebih harmoni.
Namun, alah bisa tegal biasa, kami juga berdepan cabaran yang bukan sedikit. Dari aspek kewangan, peruntukan yang terhad menuntut kami untuk lebih kreatif dan berstrategi dalam mengurus sumber, memastikan setiap penerbitan memberi nilai tambah yang maksimum. Pada masa yang sama, universiti perlu terus meningkatkan kedudukan dalam penarafan dan ranking sama ada di peringkat tempatan atau antarabangsa. Justeru, Penerbit USIM beriltizam untuk menghasilkan karya yang bukan sahaja memenuhi piawaian akademik tertinggi, tetapi turut menyumbang secara langsung kepada reputasi universiti di peringkat global.
Dalam era globalisasi, Penerbit USIM beriltizam memperluas jaringan kerjasama dengan penerbit, institusi akademik, dan organisasi di seluruh dunia. Aspirasi kami adalah menjadikan karya-karya yang diterbitkan bukan sahaja relevan di peringkat nasional, tetapi turut diiktiraf sebagai rujukan antarabangsa. Dengan menekankan integriti, profesionalisme, dan visi global, kami berusaha melahirkan penerbitan yang memberi impak kepada masyarakat sejagat, seiring dengan misi universiti untuk mengangkat ilmu berteraskan nilai Islam dan kemanusiaan.

Harapan saya ialah agar Penerbit USIM terus dikenali sebagai pusat rujukan penerbitan Islamik yang progresif, sekaligus menjadi suara Malaysia di pentas dunia ilmu; meskipun beroperasi dengan sumber yang terbatas. Dengan semangat profesionalisme dan visi global, kami yakin cabaran ini akan menjadi pemangkin kepada pencapaian yang lebih besar.

Penerbitan Bermutu, Menjana Wacana Minda.

Sekian, salam penerbitan;

Pengarah Penerbit USIM
Hariza Mohd Yusof