Penulis : Nurul Azmawati Mohamed et. al 

Cetakan Pertama : 2019 

Jumlah Halaman : 111 

Diulas oleh : Nur Syafiqah binti Zainudin 

Buku bertajuk Kelawar dan Penyakit Berjangkit terdiri daripada kumpulan penulis yang merupakan pakar dalam bidang kuman, veterinari, kesihatan masyarakat dan ahli agama. Buku ini cuba memaparkan fakta mengenai kelawar dan peranannya sebagai penyumbang kepada penyakit berjangkit. Selain itu, kelawar juga merupakan antara spesies haiwan yang penting dalam menyeimbangkan ekologi hutan, agen pendebungaan serta pemangsa bagi serangga perosak. 

Terdapat sembilan bab dalam buku ini. Pada bab pertama, penulis bermula dengan perkenalan mengenai kelawar serta struktur dan fungsi kelawar. Bab kedua pula, menghuraikan gaya hidup kelawar yang mempunyai struktur sosial berbeza-beza mengikut spesies. Dari aspek hibernasi, pembiakan dan gaya pemakanan kelawar juga dinyatakan oleh penulis. Kedua-dua bab ini diterangkan secara ringkas bagi memudahkan pemahaman pembaca. 

Bab ketiga pula, merungkaikan kaitan kelawar sebagai penyumbang kepada penyakit berjangkit. Masyarakat umum tidak mengetahui bahawa kelawar merupakan penyumbang terbesar kepada penyebaran penyakit berjangkit melalui najis dan cecair pada kelawar. Ia boleh tersebar kepada manusia melalui pernafasan dan haiwan perantara seperti khinzir. Golongan yang mempunyai daya tahan imuniti yang rendah lebih berisiko untuk dijangkiti. Bab ini dilihat antara maklumat baharu yang kurang diketahui masyarakat umum. Oleh itu, penulis telah menerangkan dengan jelas tentang kelawar sebagai penyumbang kepada penyakit berjangkit. 

Penulis jugaturut menghuraikan mengenai wabak, virus, kulat dan faktor-faktor kemunculannya pada bab keempat sehingga bab ketujuh. Wabak merupakan penyakit berjangkit yang merebak dengan cepat dalam sesuatu kawasan. Antara kategori wabak endemik seperti penyakit denggimempunyai kadar penularan lebih kurang sama setiap tahun. Jenis-jenis virus turut dibincangkan diantaranya adalah Sindrom pernafasan akut yang teruk (SARS), Ensefalitis Nipah dan Ebola. 

Sejarah penularan wabak, tanda-tanda jangkitan, diagnosis makmal, rawatan, kawalan pencegahan wabak dan cara-cara jangkitan adalah perkara yang ditekankan dalam buku ini iaitu pada bab kelapan. Penulis telah mengusulkan beberapa usaha yang terbaik untuk mencegah penyebaran wabak. 

Di akhir bab, buku ini turut menjelaskan mengenai sudut iktibar penciptaan kelawar dari perspektif Islam iaitu melihat keunikan hubungan penciptaan kelawar dengan kehidupan manusia. Dalam membincang dan menghuraikan perkara tersebut, penulis mengetengahkan hujah, maklumat serta contoh dalil melalui persembahan dan gaya bahasa yang mudah difahami oleh setiap lapisan pembaca dan menarik untuk dibaca. 

Kesimpulannya, kelebihan buku ini adalah setiap bab menghasilkan maklumat yang padat untuk pembaca dan teks penulisannya yang tidak terlalu kompleks. Justeru itu, buku ini sangat relevan untuk dijadikan bahan bacaan umum kerana terdapat topik-topik mengenai wabak penyakit bawaan kelawar dan faktor-faktor kemunculan wabak serta rawatan pencegahan bagi setiap jenis-jenis virus atau kulat juga dijelaskan dengan baik. Tambahan lagi, ilustrasi gambar yang jelas, info ringkas dan fakta-fakta dapat membantu pembaca mengetahui maklumat tambahan. muvizu full crack