Valhalla VintageVerb VST Crack
Penulis : Mahazan Abdul Mutalib et. al
Cetakan Pertama : 2016
Jumlah Halaman : 146
Tajuk : Masjid dan Pembangunan Komuniti Bandar dan Luar Bandar
Diulas oleh : Nur Syafiqah binti Zainudin
Buku yang bertajuk Masjid dan Pembangunan Komuniti Bandar dan Luar Bandar merupakan hasil daripada kajian penyelidikan. Buku ini memberikan beberapa strategi yang boleh dipraktikkan oleh para Muslim untuk meningkatkan keberkesanan institusi masjid dan kepimpinannya di Malaysia.
Terdapat empat bahagian dalam buku ini yang dimulakan dengan pendahuluan. Bab pertama berkaitan konsep pengimarahan masjid. Masjid merupakan sebuah organisasi yang dianggap penting kepada umat Islam. Pada zaman Rasullulah SAW, masjid berfungsi sebagai pelbagai pusat kegiatan manusia. Pengimarahan pula adalah berkaitan usaha ke arah pembangunan masjid seiring dengan kehendak Islam yang perlu dipraktikkan oleh umat Islam. Dalam bab ini, pembaca dapat memahami fungsi dan peranan masjid dalam meningkatkan syiar Islam seperti zaman para nabi dan sahabat.
Bab kedua pula, membincangkan berkenaan masjid dan pembangunan komuniti secara umum. Antaranya, “Model Amar Makruf dan Nahi Mungkar” yang berpusatkan masjid dibincangkan dalam aspek pembangunan komuniti melalui pendidikan, hebahan, teladan dan galakan bersedekah. Penulis juga membuktikan bahawa masjid memainkan peranan yang amat penting dalam membangunkan komuniti Islam. Dalam menghuraikan perkara-perkara tersebut, penulis mengetengahkan hujah, maklumat, serta contoh model yang boleh dijadikan rujukan.
Ciri kepimpinan masjid daripada sudut pandangan organisasi kepimpinan dibincangkan dalam bab ketiga buku ini. Menariknya pada bab ini adalah cadangan penulis untuk mengaplikasikan sebuah model ke arah pembentukan imam sebagai seorang pemimpin agama dalam sesebuah komuniti. Pembaca akan memperoleh panduan untuk membuat pemilihan yang tepat dalam membangunkan serta melahirkan imam dan pemimpin yang baik terutamanya dalam institusi masjid.
Di akhir bab, penulis menghuraikan perkaitan antara kepimpinan imam, prestasi masjid serta pembangunan komuniti menerusi tinjauan yang dijalankan di Negeri Sembilan, Selangor dan Kuala Lumpur. Selain itu, penulis turut membincangkan isu-isu kontemporari serta cabaran kepimpinan dan pengurusan masjid bagi membina kerangka model kepimpinan masjid dan pembangunan komuniti dengan lebih baik.
Kesimpulannya, buku ini memberikan maklumat yang sememangnya berguna serta menjadi perangsang kepada masyarakat umum supaya bidang kepemimpinan organisasi dan pengurusan dapat diaplikasikan terhadap institusi masjid di Malaysia. Namun, diharapkan gaya bahasa yang digunakan adalah lebih umum dan lebih ringkas bagi memudahkan pemahaman kepada masyarakat umum. Selain itu, data statistik yang dimasukkan juga menyukarkan pembaca memahaminya. Walau bagaimanapun, buku ini dapat memberi kesedaran kepada masyarakat bahawa institusi masjid dapat digunakan sebagai pusat Muslim dan pembangunan negara.