Tajuk: Pembinaan Rumah Kediaman Menurut Perspektif Islam

Penyunting: Azman Ab Rahman & Zahari Mahad Musa

Terbitan: Penerbit USIM

ISBN: 978-967-440-344-7

Pengulas: Ainnatun Nadrah Mansor

Buku Pembinaan Rumah Kediaman Menurut Perspektif Islam ialah hasil usaha pensyarah USIM dalam merealisasikan integrasi ilmu Naqli dan Aqli dalam pembinaan rumah kediaman. Penulis menerangkan mengenai prinsip rumah kediaman dalam Islam dan ciri-ciri yang ada turut dikupas secara mendalam seperti aspek keselamatan, privasi, pencahayaan dan sebagainya. Seterusnya, aspek-aspek yang digabungkan antara pandangan Islam melalui al-Quran dan hadis serta pendekatan teknologi kejuruteraan diterangkan secara jelas. Tujuan buku ini diterbitkan juga bagi memenuhi kesemua ciri-ciri rumah kediaman tersebut supaya dapat diwujudkan di Malaysia khususnya dan di seluruh dunia amnya.

Buku ini mempunyai sembilan bab yang secara umumnya membincangkan panduan mengenai pembinaan rumah kediaman yang perlu dilihat melalui pendekatan Islam dan teknologi kejuruteraan. Dalam membincangkan dan menghurai panduan tersebut satu persatu, penulis membawakan hujah, maklumat serta contoh dalil melalui persembahan dan gaya bahasa yang cukup mudah difahami oleh setiap lapisan pembaca dan menarik untuk dibaca. Penulis berjaya menggarap idea dengan mengaitkan ciri-ciri pembinaan rumah kediaman yang bukan tertumpu pada pembinaan fizikal semata-mata malahan mencakupi aspek keselamatan, privasi, pencahayaan, mesra didiami serta dibangunkan aspek kerohanian. Hal ini memberi gambaran fungsi rumah kediaman dalam membentuk peribadi Muslim sejati.

Antara tajuk yang menarik daripada buku ini adalah penulis menekankan aspek privasi dengan sangat mendalam dalam bab kelima. Hal ini meliputi kedudukan privasi rumah kediaman dalam Islam serta implikasi hukum privasi tersebut. Perkara tersebut sangatlah dititikberatkan dalam Islam apabila penulis berkongsi tentang ruang dan masa yang perlu dijaga bagi melindungi aurat yang istilah ‘awrah telah disebut sebanyak empat kali dalam al-Quran. Hal ini menunjukkan bab ‘awrah sangat penting dalam Islam. Contohnya, reka bentuk bagi pintu hadapan atau belakang seharusnya tidak menghadap terus ke arah jalan raya dan ruang tamu pula perlu diasingkan daripada ruang keluarga. Hikmah pensyariatan hukum ini bagi mengelakkan sebarang perkara yang tidak diingini bagi menjaga aib penghuni dan memberi masa kepada tuan rumah untuk bersedia menerima tetamu.

Walau bagaimanapun, penulis tidak membuat perbandingan ciri rumah moden kini dengan ciri rumah yang berpandukan syariah. Contohnya, kebanyakan rumah moden Malaysia kini mengikut konsep hiasan dalaman gaya Barat, pemaju telah membina rumah berkonsepkan ruang terbuka yang menampakkan ruang dapur. Hal ini bertentangan dengan konsep ruang dalam yang patut diasingkan ruang untuk tetamu dan ruang keluarga sahaja sebagaimana yang telah dijelaskan oleh penulis dalam bab lima.

Secara kesimpulannya, buku ini sangat relevan untuk dijadikan panduan terutama bagi golongan yang terlibat dalam pembinaan rumah kediaman serta mereka yang ingin memiliki rumah kediaman sendiri. Malahan, bahan bacaan seperti ini masih kurang berada di pasaran. Pembinaan rumah kediaman yang menepati syarak dan teknologi kejuruteraan mampu menjadikan sesebuah rumah kediaman itu selesa, seimbang dan aman. Kandungannya juga sangat memberi manfaat terutama kepada golongan Muslim khususnya dalam menilai pemilihan rumah kediaman yang ingin diduduki untuk tempoh yang lama. Semoga kewujudan rumah kediaman bercirikan Islam khususnya di negara kita suatu hari nanti dapat direalisasikan.