Penulis : Sapora Sipon dan Ruhaya Hussin
Cetakan Pertama : 2019
Jumlah Halaman : 397
Diulas oleh : Nur Syafiqah binti Zainudin
Buku Teori Kaunseling dan Psikoterapi Edisi Kelima ditulis oleh Sapora Sipon dan Ruhaya Hussin. Buku ini merangkumi 22 bab. Setiap bab menjelaskan keperluan teori, peranan kaunselor dan jenis terapi dalam kaunseling. Setiap bab membincangkan mengenai terapi yang diisi dengan maklumat mengenai latar belakang tokoh, konsep, aplikasi teori, matlamat, teknik, peranan kaunselor dan klien, sumbangan terapi berserta limitasi terapi.
Menariknya edisi baharu ini, penulis berusaha melengkapkan tajuk berkaitan teori kaunseling dan psikoterapi di samping memuatkan terapi-terapi yang baharu dalam bidang tersebut. Antaranya, Terapi Bermain, Terapi Feminis dan turut membincangkan peranan kaunselor sebagai individu yang profesional pada bab kedua. Selain itu, sama seperti edisi sebelumnya, pembaca akan memahami penjelasan setiap konsep dan terapi yang wujud kerana buku ini menggunakan bahasa yang mudah dan susunan penulisan yang mantap menjadikan buku ini amat menarik untuk dibaca. Namun, ilustrasi gambar yang digunakan agak kurang menonjol dan perlu ditambah dengan rajah-rajah yang dapat membantu pemahaman pembaca.
Mereka yang terlibat dan berminat dalam bidang kaunseling dialu-alukan bagi memanfaatkan ilmu yang terdapat dalam buku ini terutamanya untuk meningkatkan pengetahuan dalam bidang kaunseling. Tambahan pula, penulis merupakan pakar dalam bidang ini, maka penulisannya adalah sesuatu yang sahih untuk dijadikan rujukan. Tahniah atas usaha pengarang menambahkan koleksi buku dalam bidang kaunseling terutama dalam buku bahasa Melayu. Buku ini amat sesuai dibaca oleh setiap pelajar dalam bidang kaunseling dan dapat dijadikan bahan bacaan kepada masyarakat umum.